Friday, November 28, 2008

BIODATA

Pengalaman hidup dari alam kanak-kanak hingga usia persaraan merupakan pemangkin dalam kegiatan seninya. Liku-liku hidup yang dilalui menjadi subjek yang bukan sahaja mencerminkan diri beliau sebagai pelukis yang muncul pada usia persaraan.

Raja Azaham bin Raja Adnan dilahirkan di bandar Taiping, Perak pada tanggal 29 Jun 1947, dalam sebuah keluarga yang besar, rata-rata cintakan seni terutamanya seni muzik dan seni lukis. Beliau telah bersekolah di King Edward VII School Taiping, Perak hingga tamat Sijil Tinggi Persekolahan pada tahun 1967. Beliau kemudiannya menjadi pendidik di beberapa sekolah di Bandar Taiping dan Ipoh.

Minat beliau terhadap seni lukis dan seni muzik sejak kanak-kanak mendorong beliau melanjut pelajaran di dalam jurusan ijazah Rekabentuk Industri, Fakulti Senilukis dan Seni Reka UiTM, (1970 – 1974). Sebagai pelajar, beliau telah menimba sebanyak-banyak pengetahuan dan pengalaman dengan meyertai pelbagai pameran-pameran utama anjuran universiti-universiti dan galeri-galeri tempatan.

Beliau kemudiannya bertugas sebagai perekabentuk di syarikat peniklanan dan pameran Johan Design Associates. Kuala Lumpur. Pada tahun 1976, setelah berumah tangga, beliau telah ditawarkan bertugas di Jabatan Muzium Negara sebagai pegawai peragaan dan seterusnya pada tahun 1987 sebagai kurator di Muzium Perak Taiping. Pada tahun 1992 beliau telah dilantik sebagai Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, yang berpusat di Muzium Darul Ridzuan, Ipoh sehingga persaraannya pada tahun 2003.

Dalam kerjayanya di pelbagai muzium selama 28 tahun, beliau telah menganjurkan tidak kurang dari 250 buah pameran permuziuman dan pameran seni lukis tempatan dan antara bangsa. Ketika bertugas di Muzium Negara, beliau berkesempatan menganjurkan pameran antara bangsa yang bertajuk ‘German Painting Between 1800 and 1950 – In the context of European art history’, dan beberapa pameran solo, antaranya, pameran pelukis dari Labenon, Wajeh Nahle, dan Joska Skalnik dari Republik Czech.

Pada tahun-tahun 1990an, bersama rakan-rakan pelukis Negeri Perak, beliau telah merajui persatuan pelukis yang dinamakan Angkatan Pelukis Darul Ridzuan. Seiring dengan itu beliau telah menubuhkan sebuah galeri seni di perkarangan Muzium Darul Ridzuan Ridzuan Ipoh tujuan mempamerkan segala karya pelukis tanah air terutamanya pelukis Negeri Perak. Semenjak itu beliau telah ikut serta dalam beberapa buah pameran yang telah di anjurkan dan telah banyak mebuat kajian, pemerhatian, lakaran, seminar, dan ekspedisi melukis diseluruh negara.

Kini setelah bersara pada tahun 2004, pada usia 56 tahun, beliau mempunyai banyak masa terluang untuk berkarya. Impian beliau untuk menjadi pelukis sepenuh masa yang terbantut selama tiga puluh tahun kini menjadi kenyataan.

Pada bulan May 2006 beliau telah menyiapkan 40 catan abstrak-ekspressionism diberi tema football series yang mengambil masa selama setahun untuk menyiapkannya, telah dipamerkan di Muzium Seni Asia Universiti Malaya selama enam minggu, yang kebetulannya ketika bahang pertandingan akhir piala dunia dalam kemuncaknya.

Prof. Dato' Dr. Othman Yatim

No comments: